SUBANG JAYA, 26 Jun – Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) yang dianggotai 49 negara perlu membentuk satu set undang-undang baharu untuk membanteras kegiatan haram, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tanpa kerjasama sewajarnya daripada kalangan negara anggota, ia akan membuka lebih banyak ruang kepada kegiatan haram seperti keganasan transnasional serantau dan penyeludupan dadah.

“Malaysia pernah dan sedang mengalami semua ini, berada dalam enklaf Asia Tenggara, kami terdedah dengan kegiatan haram ini selama bertahun-tahun.

“Masalah pemerdagangan manusia rentas sempadan laut yang semakin meningkat telah memberi perhatian kepada isu tadbir urus maritim dan kawalan sempadan yang berkesan,” katanya.

Persidangan dari 25 hingga 29 Jun itu dihadiri oleh 160 delegasi dari rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia, Vietnam, Australia, Thailand dan Korea Selatan.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D.McFeeters dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Antarabangsa FBI Raymond P. Duda.

Ahmad Zahid berkata semasa lawatannya ke negara jiran, beliau turut mengetengahkan isu sama iaitu jenayah rentas sempadan, dadah dan penyeludupan manusia.

Beliau berkata lebih banyak kerjasama dalam kalangan anggota penguatkuasaan di Asia Tenggara khususnya polis, maritim dan risikan perlu dilakukan untuk memperkukuh mekanisme keselamatan di sempadan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pencapaian penyenaraian Malaysia ke Tahap Dua dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang (TIP) 2023 memberi impak positif dalam sektor perdagangan negara.

“Ia juga menentang persepsi negatif berkaitan isu buruh paksa di negara ini …. Saya secara peribadi percaya kami perlu melakukan lebih banyak lagi (untuk mencapai Tahap Satu),” katanya.

Sementara itu, Razarudin dalam ucapannya berkata sifat jenayah telah berubah dan menyebabkan agensi penguatkuasaan perlu bekerjasama.

Beliau berkata adalah penting untuk mempunyai penyelarasan antara semua pemain yang berbeza dalam mengekalkan keselamatan global dan program Pertubuhan Akademi Kebangsaan FBI ini ialah bahagian penting dalam menjalin kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam kepolisan dan menggalakkan persahabatan dalam kalangan anggota polis negara anggota.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here