KUALA LUMPUR, 8 Julai — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menasihati pengamal media agar tidak mensensasikan siasatan berhubung isu kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ia merujuk kepada satu laporan media tempatan hari ini yang mendakwa tiada elemen rasuah dalam siasatan kes terbabit.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai kes itu, yang kini memasuki hari keenam siasatan.

“Pihak media diharap tidak mensensasikan (isu kekecohan di KLIA) dengan memetik sumber tidak berkenaan… Ini (membuat kesimpulan kes) terlalu awal kerana (SPRM) baharu sahaja memulakan siasatan, terdapat saksi-saksi yang perlu kita panggil dan kumpulkan keterangan.

“Kita mahukan siasatan terperinci dan akhir nanti apabila selesai, kita akan kemukakan kepada pihak Pendakwa Raya atau Peguam Negara… di situ baru boleh tentukan ada kes atau elemen (rasuah) atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, media melaporkan kekecohan telah berlaku di KLIA melibatkan orang kenamaan yang dikatakan cuba ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke Malaysia sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.

Rabu lepas, Azam berkata pihaknya sudah merakam keterangan 14 individu termasuk dua wanita warga China serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, lapan pegawai Jabatan Imigresen dan beberapa saksi lain.

Beliau juga berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab menguruskan warga asing yang dikenakan perintah Not-To-Land (NTL).

“Kita mahu tahu pelaksanaan dalam mengendalikan NTL ini oleh mana-mana pihak yang telah diberi kebenaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here