HANGZHOU, 17 Julai — Sukan Para Asia keempat akan berlangsung di bandar Hangzhou, provinsi Zhejiang, timur China dari 22 hingga 28 Oktober.

Temasya sukan edisi kali ini dijangka menarik penyertaan 3,800 atlet dari 45 negara dan wilayah.

Kerja-kerja persiapan kini telah memasuki fasa penting.

Ketua Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asia Hangzhou, Chen Weiqiang berkata Sukan Asia dan Sukan Para Asia dirancang dan dipromosikan secara serentak.

“Pembinaan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan bandar yang terlibat dan persiapan perkampungan Sukan Para Asia pada asasnya sudah selesai.

“Piawaian terhadap kemudahan mesra OKU di venue pertandingan yang baru dibina lebih tinggi dan lebih ketat,” katanya.

Sebanyak 17 daripada 19 lokasi pertandingan Sukan Para Asia Hangzhou akan dikongsi dengan Sukan Asia Hangzhou dan dua yang lain pula akan menjadi venue bebas.

Pada masa ini, pembinaan kesemua 19 venue pertandingan telah selesai, dengan pemeriksaan fungsi acara pertandingan di venue tersebut turut diluluskan, manakala kemudahan mesra OKU juga selesai dibina.

Pembinaan perkampungan atlet Sukan Para Asia telah siap sepenuhnya dan lulus dalam pemeriksaan dari segi fungsi mesra OKU.

Perkampungan atlet itu akan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada atlet dan pegawai dalam pelbagai bidang termasuk penginapan, katering, pengangkutan dan perubatan.

Wakil-wakil dari pelbagai negara dan wilayah juga melawat venue yang bakal diadakannya majlis pembukaan dan penutupan, lokasi pertandingan dan kampung Sukan Para Asia untuk mendapat maklumat tentang dasar dan prosedur Sukan Para Asia Hangzhou, serta keadaan keseluruhan bandar tuan rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Paralimpik Asia, Tarek Souei berkata persiapan yang dilakukan di Hangzhou jauh lebih rapi daripada yang dijangka.

“Kemudahan mesra OKU di sini, bahkan tempat duduk di venue pertandingan terbukti amat sempurna.

“Setelah mengadakan mesyuarat dan pemeriksaan selama beberapa hari, delegasi pelbagai pihak sangat berpuas hati terhadap kualiti venue pertandingan dan juga merasai  kemesraan Hangzhou,” katanya.

Venue pertandingan Sukan Para Asia Hangzhou juga telah lulus pemeriksaan selepas melalui empat acara ujian seperti olahraga, lumba basikal, boccia, dan renang.

Selepas berakhirnya Sukan Asia Hangzhou, sistem arahan, kemudahan di lokasi pertandingan, perkhidmatan, papan tanda, sistem panduan dan lain-lain, semua kemudahan yang ada akan segera  ditukarkan untuk menyediakan perkhidmatan kepada Sukan Para Asia.

Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC), Majid Rashed, berpendapat bahawa Hangzhou telah membuat persiapan yang rapi untuk menyambut kedatangan atlet dari pelbagai negara Asia.

“Para atlet dipercayai bukan sahaja dapat merasakan kegembiraan dan keseronokan pertandingan serta suasana sukan yang menarik di venue pertandingan, tetapi juga dapat menikmati keindahan bandar ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here