KUALA LUMPUR, 26 Julai – Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia menjadi pemudah cara bagi membantu perundingan organisasi media tempatan dalam mendapatkan pampasan atau bayaran adil daripada syarikat gergasi teknologi.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata sekiranya perlu, sebuah kerangka perundangan boleh diperkenalkan bagi melicinkan perundingan tersebut.

Beliau berkata industri media Malaysia tidak sepatutnya berpeluk tubuh dalam menghadapi pasaran perbelanjaan iklan (ADEX) digital yang dikuasai gergasi teknologi.

“Mereka (media Malaysia) tidak boleh lagi membekalkan maklumat dari berita secara percuma kepada gergasi teknologi. Satu usaha bersepadu dan perancangan strategik perlu dilakukan segera bagi mengatasinya.

“Adalah tidak adil bagi syarikat-syarikat teknologi besar menggunakan kekuatan mereka memperdagangkan kandungan tempatan untuk keuntungan sendiri sahaja dengan percuma dan menjualnya kepada pengiklan, sedangkan untuk menghasilkan kerja kewartawanan bermutu tinggi memerlukan modal besar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan sempena Majlis Penutup Forum Media Nasional 2023 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD Mastura Ahmad Mustafa di sini, hari ini.

Fahmi berkata bantuan yang diberi oleh kerajaan menerusi kerangka perundangan atau sebaliknya untuk tujuan itu mempunyai prasyarat iaitu industri berita dan kewartawanan perlu menunjukkan kesatuan atau solidariti yang tinggi.

Katanya, jawatankuasa khas yang dibentuk oleh Persatuan Penerbit-Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) baru-baru ini untuk tujuan perundingan berkenaan sememangnya langkah yang baik, namun hanya mewakili media arus perdana yang besar.

“Bagi memastikan media-media kecil dan sederhana tidak disisihkan dalam perundingan dengan Google dan Facebook, mereka juga perlu dilibatkan.

“Kalau tidak, syarikat gergasi teknologi akan melakukan pecah dan perintah, menjadikan usaha untuk mendapatkan pampasan dan bayaran yang adil untuk keseluruhan industri menjadi tidak berkesan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here