MANILA, 28 Julai – Filipina memperoleh kira-kira US$235 juta ikrar pelaburan daripada sektor perniagaan Malaysia, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr. pada Khamis.

“Komitmen pelaburan yang kami terima setakat ini bernilai sekitar US$235 juta, yang merupakan petunjuk baik bahawa terdapat minat yang kukuh dari Malaysia untuk melabur di Filipina,” kata Marcos pada Forum Perniagaan Filipina di Kuala Lumpur.

Marcos turut gembira menyaksikan penglibatan yang “sangat menarik” antara syarikat dan pemimpin perniagaan Malaysia yang boleh memberikan manfaat bersama untuk sektor swasta kedua-dua negara.

“Pada masa ini, pelaburan Malaysia sudah pun memberikan sumbangan berharga kepada Filipina serta pembangunan ekonominya, khususnya dari segi pengurusan keterjaminan makanan, pembangunan infrastruktur serta penjanaan pekerjaan untuk rakyat Filipina.

“Menerusi transformasi baharu ini, ia membuka banyak peluang baharu selain akan meningkatkan lagi tahap perdagangan yang telah kami capai sejak beberapa tahun lalu,” kata Marcos yang dalam rangka lawatan negara sulungnya selama tiga hari ke Malaysia.

Marcos memberi jaminan kepada komuniti perniagaan Malaysia bahawa Filipina telah menunjukkan “tanda pemulihan yang sihat” daripada kemelesetan ekonomi akibat pandemik.

Beliau berharap kedua-dua negara dapat meneroka potensi besar untuk mencapai kecemerlangan pertumbuhan, serta produktiviti dan kadar simpanan yang lebih tinggi selain peningkatan kreativiti.

“Saya berharap komuniti perniagaan Malaysia datang ke Filipina dan bekerjasama dengan rakan perniagaan di Filipina,” kata Marcos.

Malaysia adalah rakan dagangan ke-10 terbesar Filipina dan sumber ke-22 pelaburan yang diluluskan pada 2022. Ia juga berada pada kedudukan ke-20 dari segi sumber ketibaan pelancong pada 2023.

Sementara itu, Setiausaha Komunikasi Cheloy Garafil dalam satu kenyataan berkata firma tenusu Malaysia, Farm Fresh Berhad, menjalin kerjasama dengan kerajaan Filipina untuk menjayakan pelaburan terancang bernilai AU$20 juta dalam penternakan lembu tenusu.

Garafil berkata Farm Fresh sedang meneroka kawasan berdaya maju dengan keperluan tanah seluas 200 hingga 400 hektar untuk dipajak bagi menternak 2,000 ekor lembu.

Beliau berkata pelaburan Farm Fresh akan menyediakan kemudahan pemprosesan susu yang diimport dari kemudahan Kyabram (di Australia) dan akan menumpukan pada pasaran minuman sejuk segera di Metro Manila.

Pengeluar tenusu bersepadu yang beroperasi di Malaysia dan Australia, Farm Fresh kini dalam proses mendaftar dengan Lembaga Pelaburan. Anak syarikat Filipinanya ialah Farm Fresh Milk Inc.

Farm Fresh mengendali lima ladang tenusu di Malaysia dan satu di Australia serta memiliki dua kemudahan pemprosesan di Malaysia dan satu di Australia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here