TUARAN, 6 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyeru rakyat di seluruh Sabah supaya mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang serta menggantikan bendera usang dengan yang baharu di premis masing-masing.

Beliau berkata rakyat perlu berasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang terutama ketika kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang kerana ia adalah masa terbaik menghayati semangat patriotisme serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Oleh itu marilah kita bersama-sama menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat supaya mereka memandang tinggi dan hormatilah Jalur Gemilang sebagai lambang dan identiti bangsa ini,” katanya ketika berucap pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 Sabah Peringkat Daerah Tuaran di sini hari ini.

Beliau berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, adalah tepat kerana perpaduan kaum dan toleransi telah menjadi tonggak dalam memelihara kemerdekaan negara.

Katanya dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik perlu terus dipupuk dan dilindungi kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang progresif dan kestabilan politik.

“Saya menyeru rakyat untuk bersatu dan bekerjasama melindungi dan mengukuhkan perpaduan di negara kita. Menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan akan berterusan dinikmati dan tidak terganggu dengan anasir negatif,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata usaha kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan yang dirancang di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya memerlukan sokongan padu daripada semua.

“Dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi dan perpaduan di kalangan rakyat di semua peringkat diperlukan dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri  Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, Pegawai Daerah Tuaran Hadzlan Jablee dan Pengarah Penerangan negeri Jainisah Mohd Noor.

Ketua Menteri kemudiannya melancarkan konvoi yang terdiri daripada 17 kenderaan mewakili lapan agensi awam dan swasta dengan 66 peserta, anjuran Jabatan Penerangan negeri dan akan menempuh perjalanan sejauh 2,300 kilometer di seluruh Sabah.

Sementara itu, pejawat awam David Stanislaus Ikot, 27, berkata kesedaran masyarakat mengenai pentingnya Jalur Gemilang sememangnya semakin membimbangkan.

“Dulu setiap kali tiba Bulan Kebangsaan kita akan melihat kemeriahan pemasangan Jalur Gemilang di mana-mana, tidak kira di permis kerajaan atau di rumah-rumah…namun kini amat menyedihkan apabila kita melihat hanya beberapa orang yang mengibarkan Jalur Gemilang di premis mereka.

“Kita tidak tahu apa punca pemasangan Jalur Gemilang ini tidak lagi semeriah dahulu…namun kita berharap usaha yang dilaksanakan oleh Jabatab Penerangan dapat meningkatkan semangat orang ramai untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah atau premis masing-masing,” tambahnya.

Seorang guru tabika Fauziah Samli, 37, berkata pemasangan Jalur Gemilang sepatutnya diwajibkan di semua premis kerajaan atau swasta.

“Sekiranya ia diwajibkan sudah tentu hari ini kita akan melihat Jalur Gemilang ada di mana-mana…namun amat menyedihkan apabila kita lihat keadaan seperti ini yang seolah-olah bukan Bulan Kebangsaan kerana ada pejabat kerajaan sendiri belum mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here