KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengedarkan 32,500 bendera pelbagai saiz antaranya kepada agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi, badan bukan kerajaan, perumahan awam, persatuan peniaga dan penjaja serta pemandu teksi, sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata selain itu, sebanyak 3,000 gegantung Jalur Gemilang dipasang di jalan-jalan utama sekitar ibu negara, seperti Jalan Sultan Ismail, Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“DBKL juga mengambil inisiatif dengan mempamerkan mesej sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di skrin LED Menara DBKL 1, LED Dataran Merdeka, LED swasta dan di paparan papan tanda elektronik (VMS) di sekitar Kuala Lumpur.

“Bagi tujuan sama, DBKL turut mengedarkan surat pekeliling kepada 180 pemilik bangunan di pusat bandar untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan menerangi bangunan dengan lampu hiasan di premis masing-masing,” katanya.

Kamarulzaman berkata sepanjang Bulan Kebangsaaan, pelbagai program dirangka antaranya KL Car Free Morning Edisi Khas Merdeka, karnival bola sepak perumahan DBKL, pertandingan mewarna pada 13 Ogos di Stadium Titiwangsa dan Konsert Ambang Merdeka di Dataran Merdeka pada 30 Ogos ini.

“Saya berharap penganjuran acara-acara seperti ini dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan jati diri warga kota dan diharap mereka mengambil peluang menyertai pelbagai acara yang diadakan bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here