KOTA BHARU, 13 Ogos – Gabungan PAS dan Bersatu menang besar di Kelantan apabila memperoleh 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Keputusan penuh PRN Kelantan itu disiarkan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya.

PAS menang di 38 daripada 39 kawasan yang ditandingi manakala rakan gabungannya Bersatu menang di lima daripada enam kerusi yang ditandingi. 

Antara nama besar calon PAS yang menang ialah Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob apabila mempertahankan kerusi DUN Pasir Pekan, yang disandang beliau sejak Pilihan Raya Umum (PRU) kesembilan.

Beliau menang dengan majoriti 12,811 undi selepas mendapat 18,783 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan Mohamad Zamakh Sari Ibrahim yang memperoleh 5,972 undi.

Turut mengekalkan kemenangan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, penyandang di DUN Pachor sejak PRU11, dengan majoriti 10,686 undi selepas meraih 18,700 undi mengalahkan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain yang hanya mendapat 8,014 undi.

Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor, yang bertanding di kerusi DUN Air Lanas, turut menang dengan majoriti 5,009 undi apabila mendapat 9,535 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Nasrul Hadi Kamaruzaman (4,526 undi).

BN, yang meletakkan calon di 31 DUN pada PRN kali ini, hanya menang di kerusi DUN Galas menerusi penyandangnya Mohd Syahbuddin Hashim manakala Pakatan Harapan, yang bertanding di 14 kawasan, juga menang di satu kerusi iaitu DUN Kota Lama.

Calon PH Dr Hafidzah Mustakim membuat kejutan apabila berjaya merampas DUN Kota Lama apabila menewaskan calon PAS dan dua lagi calon Bebas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PAS membentuk kerajaan negeri di Kelantan selepas menang 37 daripada 45 kerusi DUN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here