KOTA KINABALU, 17 Ogos – Kerajaan Sabah sedang meneruskan usaha meningkatkan perkhidmatan Internet di semua 749 pejabatnya dengan rangkaian fiber berkelajuan 100Mbps yang dijangka selesai menjelang 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha melalui anak syarikat kerajaan negeri Sabah Net itu adalah penting dalam bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan kecekapan pentadbiran berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan itu dikembangkan secara konsisten terutama dalam perkhidmatan kerajaan negeri melalui pelbagai program.

“Kita akan memastikan jentera kerajaan terus bekerja dalam suasana 5A iaitu ‘Available At Anytime, Anywhere with Any mobile device’ termasuk pemasangan Wi-fi di semua premis kerajaan dengan keselamatan siber.

“Kerajaan juga akan merancakkan penggunaan solusi pengkomputeran awan selaras dengan MyDigital Economy Blueprint,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun, dan dalam teks itu Hajiji berkata dalam usaha memantapkan kualiti penyampaian itu juga, JPKN bertanggungjawab membangunkan 30 sistem aplikasi bercirikan End-To-End untuk agensi kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) untuk menyokong strategi dalam meningkatkan kapasiti Sains, Teknolgi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here