PUTRAJAYA, 17 Ogos – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited memastikan program-program dilaksanakan kementerian di bawah Belanjawan 2024 adalah berpaksikan rakyat (people centric) yang mampu memberi kesan langsung kepada rakyat.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada majlis libat urus inisiatif Belanjawan 2024 bersama pemegang taruh di sini hari ini berkata inisiatif yang dicadangkan KPKT juga akan dipastikan memberi manfaat segera kepada kumpulan sasar dan bersedia untuk dilaksanakan pada 2024.

“Program-program yang akan dilaksanakan KPKT juga dipastikan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang bertema ‘Memperkasa rakyat’,” katanya.

Nga berkata input, pandangan dan cadangan pemegang taruh KPKT khususnya berkaitan sektor perumahan, pengurusan sisa pepejal, kemampanan bandar dan komuniti serta pemerkasaan perkhidmatan kerajaan tempatan diperlukan bagi merangka program di bawah Belanjawan 2024.

Dalam Belanjawan 2023, KPKT menerima peruntukan RM5.333 bilion, meningkat 3.61 peratus  berbanding RM5.146 bilion pada 2022.

Nga berkata KPKT dipertanggungjawab untuk melaksanakan inisiatif di bawah Belanjawan 2023 antaranya penggantian dan penyelenggaraan lif usang di Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk meningkatkan keselamatan penduduk dengan peruntukan berjumlah RM50 juta.

Turut dilaksanakan ialah penyelenggaraan longkang dan perparitan serta membina kolam takungan banjir terutamanya di kawasan hot spot banjir bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara untuk menghadapi bencana yang keseluruhannya berjumlah RM130 juta.

Selain itu, katanya pembinaan sebanyak 4,250 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) melibatkan peruntukan RM358 juta serta membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai serta kiosk perniagaan di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peruntukan berjumlah RM50 juta.

“Kesemua inisiatif ini sedang giat dilaksanakan dan dijangka selesai menjelang hujung tahun ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here