PUTRAJAYA, 24 Ogos – Persiapan aspek logistik dan teknikal di Dataran Putrajaya, lokasi tumpuan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023, berjalan lancar dan telah mencapai kemajuan 90 peratus.

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Produksi dan Artistik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Haqkam Hariri berkata gerak kerja untuk persiapan tersebut telah dimulakan sejak 1 Ogos lepas melibatkan kira-kira 100 tenaga kerja.

“Boleh dikatakan khemah royal box, layar skrin gergasi, kerusi teres bertingkat, besi penghadang, baik pulih persekitaran dan pemasangan fasiliti seperti tandas bergerak sudah siap,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Haqkam berkata kerja-kerja pemasangan akan diteruskan dengan pemasangan enam skrin layar di sepanjang jalan berhadapan Istana Kehakiman serta beberapa kelengkapan berkaitan.

Dari segi bekalan tenaga elektrik, beliau berkata kira-kira enam generator akan digunakan dengan kapasiti penghasilan tenaga elektrik antara 1.0 kilo volt ampere (kva) dan 1.5 kva.

— LAGI

KEBANGSAAN-PERSIAPAN 2 (AKHIR) PUTRAJAYA

“Mungkin kita akan tambah lagi berdasarkan keperluan atau untuk pengganti. Generator ini untuk bekal tenaga elektrik pada papan layar, sistem suara serta peralatan elektrik di royal box,” katanya.

Sebanyak  10 komponen kontinjen akan menyertai acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos iaitu Kenegaraan; Perpaduan Malaysia MADANI; Ekonomi; Perbankan; Telekomunikasi; Industri Kreatif; Komuniti; Sukan Negara; Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.

Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 ialah “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema sambutan, manakala Malaysia MADANI diangkat sebagai logo rasmi.

Putrajaya sebelum ini menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here