KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran meningkat minggu lepas apabila ditutup tinggi pada Isnin berikutan pasaran di seluruh dunia memberikan reaksi positif terhadap langkah China untuk menggiatkan semula ekonominya yang lemah.

Seorang peniaga berkata peningkatan dicatatkan di seluruh pasaran serantau termasuk niaga hadapan getah Jepun.

Beliau berkata reaksi positif terhadap langkah rangsangan oleh China membantu pasaran menyelaraskan isyarat kecenderungan menaikkan kadar faedah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Jerome Powell pada Jumaat lepas yang menyatakan kadar faedah berpotensi untuk terus meningkat bagi mengawal inflasi.

Selain itu, kenaikan harga minyak turut membantu meningkatkan pasaran getah serantau.

China selaku pengguna getah asli terbesar di dunia baru-baru ini meluluskan garis panduan untuk menggalakkan perumahan mampu milik dalam keadaan krisis hutang hartanahnya. Pada Ahad, negara itu turut  mengumumkan pengurangan separuh daripada duti setem terhadap dagangan saham pada Ahad.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 2.5 sen kepada 609.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik 0.5 sen kepada 462.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 610.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 463.5 sen sekilogram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here