KUALA LUMPUR, 8 Sept – Persidangan Antarabangsa mengenai Budaya Dunia 2023 (ICWC’23) yang akan berlangsung dari 16 hingga 19 Nov di Pusat Dagangan Dunia di sini akan menjadi jambatan bagi mempromosi dialog, rasa hormat dan kerjasama dalam hubungan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dalam dunia yang budayanya semakin saling berkait, ICWC’23 berfungsi sebagai mercu tanda perpaduan, kepelbagaian dan kemanusiaan bersama. 

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata ia menyediakan platform di mana negara sama ada kecil mahupun besar, boleh mempamerkan warisan, tradisi dan kisah mereka dengan bangga.

“”ICWC ialah perayaan komuniti global yang pada dasarnya mengingatkan kita bahawa perbezaan kita adalah benang yang mengikat tamadun manusia. Setiap budaya, tradisi dan kisah menyumbang kepada karya agung yang merentasi sempadan.

“ICWC memupuk pemahaman dan penghargaan dalam kalangan negara, memecahkan stereotaip dan salah tanggapan. Ia mendedahkan persamaan dan memperdalam rasa hormat terhadap kepelbagaian kita, membentuk asas untuk persahabatan yang berkekalan, perkongsian dan kerjasama,” katanya ketika berucap pada Pratonton Media dan Malam Gala A Taste of ICWC’23 di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari.

Beliau berkata ICWC’23 juga berfungsi sebagai platform dinamik bagi pertukaran ekonomi dan budaya yang membolehkan negara-negara mempromosi pelancongan, perdagangan serta peluang pelaburan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here