KUCHING, 22 Sept – Inisiatif kerajaan Sarawak untuk mewujudkan stesen pelbagai bahan api menjadi bukti kepada komitmennya untuk mendahului usaha transformasi tenaga di negara ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan menerusi SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) itu adalah langkah ke hadapan yang penting untuk mewujudkan ekosistem tenaga yang lebih lestari dan inovatif.

“Ini menandakan bukan sahaja kemajuan dalam teknologi hijau, malah komitmen berterusan Sarawak untuk menjadi peneraju dalam transformasi tenaga negara,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan beliau ke stesen pelbagai bahan api Petros di sini bagi melihat kemajuan Stesen Pengisian Hidrogen Bersepadu sebagai usaha penting dalam menggalakkan penggunaan hidrogen sebagai bahan tenaga bersih dan mampan.

Katanya usaha ini dapat meningkatkan penggunaan hidrogen bagi tujuan mobiliti hijau dan menyokong inisiatif kerajaan untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan penyahkarbonan.

Chang berkata ekosistem tenaga berasaskan hidrogen di Malaysia adalah selari dengan perencanaan agenda hidrogen kebangsaan menerusi Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) yang akan dilancarkan kelak.

Menurutnya HETR dijangka mewujudkan ekonomi hidrogen di Malaysia, menjana pendapatan negara sehingga RM12.1 bilion dan akan menyumbang antara RM49 bilion dan RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang 2030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here