KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU), bagi meminda Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) atau Akta 465, pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat yang dijadual bermula 9 Okt hingga 30 Nov ini.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pindaan tersebut, melibatkan 10 peruntukan sedia ada dan dua tambahan, yang antaranya bertujuan memperkasa dan memudahkan perjalanan SPAN dari segi kewangan, memendekkan tempoh khidmat anggota suruhanjaya serta meminimumkan kuasa menteri.

“Kita berhasrat untuk memendekkan tempoh maksimum jawatan anggota jawatankuasa dari 10 tahun ke enam tahun… kita juga mahu meminimumkan kuasa menteri, kita nak ia (suruhanjaya) ‘bring out’ dari kementerian,” katanya pada sesi taklimat Rang Undang-udang SPAN dan Rang Undang-udang Kualiti Alam Sekeliling.

Dalam pada itu, dua peruntukan tambahan tersebut melibatkan penggunaan logo dan representasi suruhanjaya, serta memberikan kuasa penuh kepada suruhanjaya untuk menentukan syarat perkhidmatan perkerja dan peraturan berkenaan tatatertib.

Beliau juga berkata, turut akan dibentang ialah Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 sehingga RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi lima tahun bagi kesalahan pencemaran dan perlepasan sisa minyak serta sisa buangan.

Nik Nazmi berkata Rang Undang-Undang itu juga menaikkan nilai kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntukkan bagi beberapa kesalahan.

“Pindaan itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan serius dalam usaha mengawal pencemaran alam sekitar dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata pindaan itu juga, memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling menentukan pakaian seragam bagi semua pegawai peguatkuasa Jabatan Alam Sekitar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here