KUALA LUMPUR, 11 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhasrat membangunkan program latihan berkaitan Kod Teknikal MCMC serta kursus telekomunikasi yang berstruktur, bagi meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam negara.

Ketua Pegawai Operasi MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata terdapat peruntukan di dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 1998) yang menyatakan bahawa pelbagai pihak berkepentingan boleh membangunkan bersama kod teknikal industri yang boleh digunakan oleh pengguna dan juga industri.

Bercakap dalam Persidangan Pembangunan Kapasiti 2023 ( CDC23) di sini, hari ini beliau berkata pihaknya turut berkolaborasi dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) untuk membangunkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dipacu industri, untuk diterima pakai oleh Institut Latihan Perindustrian bagi kursus-kursus yang berkaitan telekomunikasi.

Sementara itu, beliau berkata isu mengenai kesediaan tenaga kerja dan tenaga mahir bagi bidang telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tidak hanya membabitkan Malaysia sahaja, malah banyak negara lain turut menghadapi potensi kekurangan tenaga kerja mahir, yang boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan usaha pembangunan negara.

Memetik kenyataan International Data Corporation (IDC), beliau berkata sekitar 60 hingga 80 peratus organisasi di Asia Pasifik mendapati sukar atau amat sukar untuk mengisi kekosongan di banyak peranan dalam Teknologi Maklumat (IT) termasuk keselamatan, pemaju dan profesional data.

“Kira-kira 53 peratus organisasi Asia Pasifik mengambil masa tiga hingga empat bulan lebih lama daripada biasa untuk mengisi peranan dalam teknologi itu berbanding setahun yang lalu,” tambahnya.

Merujuk kepada inisiatif MCMC Mohd Ali berkata terdapat 911 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang boleh diakses oleh banyak komuniti di seluruh negara setakat ini, dengan lebih 25,000 usahawan PEDi berjaya menjalani latihan dan menyesuaikan diri dengan ekonomi digital.

Beliau berkata geran penyelidikan bernilai hampir RM4 juta telah diagihkan di bawah Program Kerjasama Penyelidikan Media Rangkaian (NMRCP) sebelum ini, dan program semasa Geran Penyelidikan Masyarakat Digital (DSRG), yang menjana lebih 50 projek penyelidikan yang telah siap.

CDC23 ialah persidangan dua hari yang bertujuan menangani, meneroka dan mencari penyelesaian bagi keperluan kemahiran dan kesediaan tenaga kerja dalam bidang telekomunikasi dan ICT.

Persidangan itu juga membolehkan peserta daripada pelbagai agensi seperti kerajaan, pemain industri, entiti swasta dan ahli akademik berkongsi idea, mendapatkan pandangan, berhubung dan memupuk kolaborasi untuk pembangunan kapasiti bagi industri telekomunikasi dan ICT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here