KUALA LUMPUR, 18 Okt – United Kingdom (UK) komited untuk terus menjalin kerjasama dengan Malaysia bagi memanfaatkan kepakaran dalam bidang sains, teknologi dan industri ke arah memperkukuh ekonomi kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ailsa Terry berkata kerjasama yang telah terjalin sekian lama antara UK dan Malaysia dalam bidang pendidikan, sains, inovasi dan teknologi adalah bukti perkongsian mendalam kedua-dua negara.

“Persidangan Kecerdasan Buatan (AI) UK-Malaysia 2023 ini berfungsi sebagai langkah penting dalam memajukan pakatan kita yang sudah terjalin sekian lama,” kata Terry dalam ucapan alu-aluannya di persidangan itu di sini hari ini, yang disampaikan oleh Kaunselor (Isu-Isu Global) Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur Andrew Bowes.

Terry turut menzahirkan komitmen UK untuk mengambil peranan kepimpinan bagi memastikan penggunaan yang selamat dan bertanggungjawab dalam teknologi baharu muncul seperti AI.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam ucapan alu-aluannya pula berkata kerajaan Malaysia sedang memuktamad kriteria serta garis panduan khusus bagi pembangunan dan penggunaan bagi kes-kes serta aplikasi AI yang dijadual dikeluarkan pada awal 2024.

Beliau turut menggalakkan agensi kerajaan, para penyelidik dan syarikat tempatan menjalin kerjasama dengan rakan sejawat masing-masing dari UK untuk mewujudkan norma serta standard antarabangsa bagi pembangunan dan penggunaan AI kerana ia juga boleh menjadi kuasa dalam bidang diplomasi serta kerjasama di peringkat global.

Persidangan AI UK-Malaysia 2023 adalah anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here