KUALA LUMPUR, 20 Okt — Malaysia dan Uzbekistan secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan bagi membentuk kerjasama dan hubungan dan lebih erat.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa objektif utama MoU itu adalah untuk mengukuh dan memajukan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pelancongan yang dinamik.

“MoU ini bersedia untuk memenuhi kepentingan bersama kedua-dua negara dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi penduduk masing-masing.

“Perkongsian strategik ini adalah bukti komitmen kedua-dua negara ke arah memupuk persefahaman bersama, pertukaran budaya dan pertumbuhan ekonomi melalui lensa pelancongan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, beberapa bidang utama kerjasama telah dikenal pasti dan akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun (2023-2033) di bawah peruntukan MoU meliputi promosi dan pemasaran, meningkatkan jaringan udara, penyelidikan, latihan dan pembangunan serta promosi pelancongan mesra muslim.

Ini juga termasuk pembangunan sumber kebudayaan, pelancongan perniagaan, aktiviti ekonomi dan pelaburan, serta pelancongan berasaskan komuniti dan ekopelancongan.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung pada 17 Okt, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) sesi ke-25 di Samarkand, Uzbekistan

Menurut MOTAC, MoU itu dimuktamadkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Ekologi, Perlindungan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Aziz Abdukhakimov mewakili kerajaan Uzbekistan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here