KUALA LUMPUR, 21 Okt – Malaysia yakin bahawa kerjasama yang diperkukuh antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan serantau dan subrantau amat diperlukan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Duta Malaysia ke Iran Khairi Omar berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan PBB bertemakan “Peace through dialogue: The contribution of regional, subregional and bilateral arrangements to the prevention and peaceful resolution of disputes”, di New York pada Jumaat (20 Okt).

Kenyataan itu disediakan kepada Bernama oleh Perwakilan Tetap ke PBB di New York.

Khairi berkata penglibatan aktif organisasi serantau dan subrantau sebagai rakan kongsi PBB yang boleh dipercayai amat penting dalam menyampaikan mandat pertubuhan itu.

“Malaysia khususnya, mengalu-alukan kerjasama berterusan antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pertubuhan lain, khususnya ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Myanmar kekal sebagai satu daripada isu paling mencabar yang dihadapi rantau itu dan Malaysia mengalu-alukan Resolusi 2669 (2022) mengenai Situasi di Myanmar yang diterima pakai oleh Majlis Keselamatan pada 21 Dis 2022.

Beliau berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dan konstruktif dengan negara anggota ASEAN dan majlis itu dalam usaha ke arah mencapai penyelesaian yang aman dan mampan kepada krisis politik Myanmar.

“Dalam hal ini, kami menekankan perlunya pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) secara menyeluruh dan berkesan. Kami juga mengiktiraf usaha gigih OIC yang turut bersolidariti untuk menangani situasi di Asia Barat termasuk berhubung isu rakyat Palestin.

“Kami menyokong Pernyataan Akhir mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Eksekutif OIC pada 18 Okt untuk meneroka cara bagi rakyat Palestin mendapatkan hak, menentukan nasib mereka sendiri dan mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” katanya.

Beliau berkata gesaan yang dibuat oleh Setiausaha Agung melalui Agenda Baharu Keamanan untuk rangka kerja dan organisasi serantau harus disokong dan dikembangkan.

“Malaysia akan terus menyumbang dan mengambil bahagian secara aktif dalam usaha serantau untuk memperkukuh dialog dan kerjasama dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

Khairi berkata konflik yang berpanjangan di seluruh dunia telah lama membayangi keamanan global dengan kesan limpahan bencana yang terus mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Kesan buruk konflik berterusan selama bertahun-tahun. Maka pencegahan konflik dan penyelesaian secara aman adalah penting.

“Malaysia komited untuk menyelesaikan pertikaian melalui cara aman, dengan teguh menyokong Bab Enam Piagam PBB,” katanya sambil menambah bahawa mengekalkan keamanan adalah usaha kolektif yang memerlukan penglibatan aktif semua pihak yang berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here