KUALA LUMPUR, 23 Okt – Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali di bangunan Parlimen. 

Wan Junaidi berkata beliau mengulangi pendirian Malaysia yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan genosid dan kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Palestin.

“Oleh itu, saya menyeru pihak antarabangsa terutamanya kuasa Barat dan Eropah untuk menunjukkan perikemanusiaan dan mengambil tindakan segera dan drastik bagi menghentikan kekejaman genosid yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Junaidi, pada pertemuan itu Walid merakam ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas bantuan dan sokongan kerajaan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia keseluruhannya kepada Gaza dan rakyat Palestin. 

“Saya turut mengesahkan pendirian Malaysia tidak akan berhenti berjuang untuk hak-hak Palestin berdasarkan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa, Palestin telah mempunyai hak yang sah sejak 1947,” katanya. 

Wan Junaidi turut menyeru pihak media untuk memberikan laporan yang lebih adil yang reflektif kepada keadaan semasa di Gaza. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here