KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kerajaan kini menggunakan platform Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana terutamanya Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata platform dibangunkan Bahagian Geospatial Pertahanan, Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (Jupem) itu merupakan pengintegerasian data khas dalam aplikasi sistem Maklumat Geografi (GIS).

Beliau berkata GIS yang merentasi pelbagai kementerian dan agensi berupaya mewujudkan joint common operating picture (JCOP) yang beroperasi 24 jam di pusat kawalan bencana negara bagi tujuan pengurusan bencana selain berfungsi sebagai pangkalan data berpusat terbuka.

“Antara agensi yang dah integrasi di dalam platform DGIM ialah DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia), Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Agensi Angkasa Negara Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Selain itu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Pusat Geospatial Negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Armizan berkata demikian bagi menjawab soalan asal Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai inisiatif kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data berpusat terbuka melalui platform DOSM dalam usaha mengumpul semua data berkaitan bencana bagi meningkatkan kesiapsiagaan.

Menjawab soalan tambahan Zahir mengenai sama ada kerajaan bercadang melibatkan syarikat insurans dalam meningkatkan kesiapsiagaan komuniti di kawasan berisiko tinggi bencana menerusi pelaksanaan insurans Rahmah, Armizan berkata itu antara syor yang sedang diteliti kerajaan.

Sementara itu, mengenai pembangunan DGIM, Armizan berkata ia tidak melibatkan sebarang peruntukan tambahan kepada kerajaan kerana dibangunkan secara dalaman oleh Jupem sebelum diangkat untuk digunakan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin mengetahui peruntukan disediakan kerajaan bagi pengurusan DGIM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here