KUALA LUMPUR, 1 Nov – Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel penting untuk menyerap kejutan luaran selain dapat mengurangkan impak terhadap ekonomi domestik dalam ketidaktentuan pasaran global.

Berdasarkan kepentingan itu, Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengurus risiko daripada perkembangan domestik dan luaran selain bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang lebih teratur.

“Risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga dapat dikurangkan menerusi instrumen lindung nilai, penekanan terhadap pinjaman luar negara yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negara yang tinggi.

“Semua faktor ini dijangka dapat memastikan keperluan perniagaan dipenuhi dengan berkesan manakala kos dan keperluan mata wang asing diuruskan dengan cekap,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) di Dewan Rakyat mengenai langkah-langkah kerajaan bagi memastikan permintaan ringgit yang berterusan.

Menjelaskan selanjutnya, Sim berkata bagi tempoh jangka panjang, nilai ringgit boleh dikukuhkan melalui pelaksanaan polisi atau dasar yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara.

“Contohnya seperti (usaha) kerajaan mentransformasi ekonomi negara dipacu oleh kerangka Ekonomi MADANI melalui pelan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12),” katanya.

Selain itu, kerajaan akan turut meningkatkan ketangkasan perkhidmatan kerajaan dan menstrukturkan semula ekonomi bagi mengembalikan keyakinan terhadap mata wang ringgit dan ekonomi negara.

Beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap pengukuhan kemampanan fiskal menerusi pembentangan  Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal juga dijangka memberi kesan kepada peningkatan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia serta pengukuhan nilai ringgit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here