KUALA LUMPUR, 15 Nov – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenal pasti lima perspektif utama membangunkan ekosistem teknologi bahan termaju termasuk unsur nadir bumi (REE), antaranya melalui pembiayaan dan kewangan serta pembangunan infrastruktur.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata MOSTI juga melaksanakan penetapan peraturan dan penggubalan dasar, peningkatan kemahiran dan pengembangan bakat dan pembangunan teknologi bagi tujuan itu.

“Penubuhan National Advanced Materials Consortium (NAMC) juga akan bertindak sebagai hab perhubungan untuk pembangunan perniagaan, mewujudkan rangkaian dan libat urus antara pihak berkepentingan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin tahu sejauh mana Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Nasional yang telah dilancarkan dapat membantu perancangan kerajaan untuk memanfaatkan sumber REE dalam negara.

Selain itu, Arthur berkata Agensi Nuklear Malaysia berperanan menyediakan teknologi dan infrastruktur bagi pembangunan REE untuk ekosistem huluan dan pertengahan.

Beliau berkata REE dikenal pasti antara bahan termaju yang akan memberi potensi pasaran kepada pemain industri selain grafen, nitinol dan polimer selulosa berhablur mikro dengan saiz pasaran REE global telah mencecah US$5.6 bilion pada 2021.

Selain itu, permintaan kepada kenderaan elektrik yang memerlukan penggunaan REE bagi menghasilkan magnet juga menyebabkan lonjakan kepada keperluan unsur berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here