KUALA LUMPUR, 18 Nov – Kertas konsep untuk GovTech, yang akan mengintegrasikan operasi kerajaan ke dalam platform digital serba lengkap dan berkesan, bakal dibentangkan di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Disember, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kertas itu akan menggariskan inisiatif strategik dan penyelesaian teknologi inovatif yang dicadangkan untuk meningkatkan perkhidmatan sektor awam, dengan fokusnya adalah pada memanfaatkan teknologi terkini bagi memperkemas operasi kerajaan, meningkatkan kecekapan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang awam.

“Pembentangan ini merupakan langkah kritikal dalam mengintegrasikan teknologi ke dalam proses kerajaan, yang melambangkan komitmen terhadap transformasi digital dan pemodenan sektor awam,” katanya pada sidang akhbar berhubung kemas kini mengenai Program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDL) di sini hari ini.

Beliau berkata GovTech bertujuan untuk merevolusikan perkhidmatan sektor awam dengan mengintegrasikan operasi kerajaan ke dalam satu platform digital yang serba lengkap dan berkesan. Inisiatif itu berpusat pada penciptaan ekosistem digital yang saling berhubung, membolehkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dengan mudah dan cekap.

“Dengan memanfaatkan data dan analitik, GovTech berusaha untuk menggerakkan tadbir urus yang lebih bermaklumat, tanggap dan berkesan,” katanya.

Rafizi berkata Padu, hab pangkalan data pusat kerajaan, sedang ditubuhkan untuk mengukuhkan peralihan itu.

Mengintegrasikan platform seperti itu adalah kritikal untuk memastikan pembuatan keputusan dan tadbir urus berasaskan data dilaksanakan di seluruh sektor awam, kata menteri berkenaan.

“Ia membentuk asas untuk langkah-langkah penting seperti pembentangan Akta Omnibus.

“Dengan mewajibkan perkongsian data yang lebih besar antara kementerian dan agensi, kerajaan akan dapat memaksimumkan kecekapan dan potensi menyeluruh Padu,” katanya.​

Tahap keterperincian itu adalah penting untuk mengkaji semula peranan teknologi maklumat dan proses pelaksanaan digital, katanya.

“Bagaimanapun, sejauh mana transformasi digital, pemimpin memerlukan kemahiran untuk memahami kerumitan dalam usaha ini. 

“Inilah sebabnya pembinaan kepimpinan digital Malaysia adalah penting. Hanya dengan perkhidmatan awam yang cekap digital dan lincah, kerajaan akan berjaya memulakan peralihan ini,” katanya.

Dalam pada itu, kohort pertama Program EDL yang dilancarkan pada 14 Nov, 2023, terdiri daripada 55 peserta, dengan 35 daripadanya ialah sektor awam dan bakinya daripada sektor swasta.

Peserta akan terlibat dalam kursus selama tiga bulan, dan kemudiannya beralih kepada kohort kedua dan seterusnya, kata beliau.

Penyertaan program seperti EDL yang konsisten akan memastikan generasi mempunyai keupayaan untuk memacu Malaysia ke hadapan menuju era kemajuan teknologi yang seterusnya, tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here