BEIJING, 7 Dis – Menteri Luar China Wang Yi berkata China dan Amerika Syarikat (AS) harus memajukan hubungan dua hala ke arah yang lebih sihat, mantap dan lestari.

Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken pada Rabu.

Blinken turut menyampaikan penghargaan kepada Wang yang berkunjung ke kedutaan besar AS di China untuk memberikan penghormatan kepada mendiang bekas Setiausaha Negara Dr. Henry Alfred Kissinger. 

Wang Yi berkata sebelum ini, Dr. Kissinger pernah berkata bahawa AS dan China perlu saling menghormati, membangun bersama dan memikul tanggungjawab antarabangsa yang sewajarnya.

“AS perlu memahami kepentingan isu Taiwan bagi China. Khazanah diplomatik mendiang patut diwariskan dan dikembangkan oleh generasi seterusnya,” katanya.

Wang berkata Presiden Xi Jinping dan Presiden Joe Biden pada pertemuan di San Francisco baru-baru ini telah menetapkan Wawasan San Francisco yang dilihat amat signifikan. 

“Tugas yang paling penting bagi kerajaan kedua-dua negara pada masa ini adalah melaksanakan persetujuan yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, mengukuhkan trend pemulihan hubungan dua hala, dan mendorong hubungan tersebut ke arah yang sihat, mantap dan lestari,” kata Wang.

Beliau sekali lagi menegaskan pendirian China dalam isu Taiwan dan menuntut AS usah mencampuri urusan dalaman China serta tidak menyokong rejim ‘kemerdekaan Taiwan’ dalam apa jua cara.

Wang Yi dan Blinken juga bertukar-tukar pendapat tentang konflik Palestin-Israel dan bersetuju mengekalkan komunikasi tentang situasi di Asia Barat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here