KUANTAN, 7 Dis – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang menepati jadual pelaksanaan apabila telah mencapai 57 peratus kemajuan kerja setakat 30 Nov lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Beliau berkata kerja pembinaan projek itu di Pahang melibatkan beberapa daerah iaitu Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong sedang rancak dilaksanakan dengan projek ini dijangka siap pada Dis 2026 dan beroperasi pada 2027. 

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM2 juta pada 2024 untuk menaik taraf kemudahan latihan Pahang Skills kepada Pusat Kecemerlangan dengan membangunkan kursus baharu iaitu Penyelenggaraan Landasan Keretapi selaras dengan projek ECRL,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2024 (2023) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini.

Bagi merancakkan pelancongan kereta api di laluan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus pula, Mohammad Fakhruddin berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM150,000 pada 2024 untuk mempromosikan pakej pelancongan kereta api yang melibatkan lima stesen KTM iaitu di Kemayan, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis dan Merapoh.

Menyentuh mengenai aspek jalan raya, beliau berkata pihaknya berharap bakal menerima manfaat peningkatan agihan daripada peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) oleh kerajaan Persekutuan, bagi memastikan jalan negeri dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat. 

Lebihan peruntukan itu juga diminta antara lain berikutan jumlah panjang jalan Marris di negeri ini meningkat saban tahun, iaitu 30,720 kilometer (km) pada 2020; 37,022 km (2021), 43,036 km (2022) dan 43,658 km (2023). 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal ketika ucapan penggulungannya berkata kerajaan telah memberikan peluang pekerjaan bagi menjamin kebajikan dan kerjaya bekas atlet.

Misalnya, beliau berkata buat masa ini terdapat 18 bekas atlet yang bekerja sebagai kakitangan pentadbiran di Majlis Sukan Pahang, selain terdapat 59 bekas atlet dilantik sebagai jurulatih dalam pelbagai sukan di negeri ini meliputi 25 jurulatih sepenuh masa dan 34 jurulatih sambilan. 

Selain itu, beliau memaklumkan bagi memastikan bakat bola sepak Pahang tidak berhijrah ke pasukan lain, mulai 2019 pihak Majlis Sukan Pahang telah memulakan langkah mendaftar pelatih Akademi Mokhtar Dahari di Gambang sebagai atlet Sukma (Sukan Malaysia) Pahang. 

Hasil daripada inisiatif ini menurut beliau, boleh dilihat apabila negeri Pahang merangkul gelaran Naib Johan Piala Presiden dan Piala Belia pada tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here