WASHINGTON, 15 Dis – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Janet Yellen berkata beliau akan melawat China tahun depan untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya mengenai pelbagai isu yang mencabar.

“Saya bercadang untuk melakukan lawatan kedua saya ke China sebagai Setiausaha Perbendaharaan dengan sebahagian besar agenda bakal tertumpu kepada perbincangan mengenai isu yang menjadi kebimbangan bersama,” katanya pada majlis makan malam Majlis Perniagaan AS-China pada Khamis.

Yellen berkata antara keutamaan Jabatan Perbendaharaan pada tahun depan adalah memberi tumpuan menguruskan hubungan ekonomi AS-China secara bertanggungjawab.

Bagaimanapun, Yellen menegaskan bahawa AS tidak akan cuba menyelesaikan semua perselisihan faham antara kedua-dua negara kerana ia adalah matlamat yang tidak realistik.

Selain itu, Yellen berkata kedua-dua pihak akan berusaha memperkukuh komunikasi dua hala dengan harapan dapat membantu mengelakkan salah faham.

Beliau berkata AS dan China juga akan memudahkan pertukaran pengawal selia kewangan seperti yang dilakukan AS dengan pusat kewangan utama lain iaitu Kesatuan Eropah dan United Kingdom secara berkala.

AS akan berusaha untuk kedua-dua negara bersama-sama menangani cabaran global, termasuk isu berkaitan perubahan iklim dan meneroka bekerjasama bagi mengukuhkan rangka kewangan antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here