KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) — Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) mengumumkan pelantikan Mohamad Safri Shahul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 1 Jan 2024.

Dalam satu kenyataan, katanya pelantikan baharu itu telah diluluskan oleh lembaga pengelola IILM pada mesyuarat ke-31 di Istanbul, Turkiye pada 12 Dis 2023.

Mohamad Safri mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor perbankan dan kewangan termasuk pengalaman selama lebih 20 tahun sebagai perintis, penstruktur, transaktor dan peneraju terkemuka dalam perbankan dan kewangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau menyertai IILM selepas selama 13 tahun di CIMB Bank apabila beliau berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk sebagai Pengarah Urusan Kanan di Kumpulan Sektor Awam bank itu dan sebagai Timbalan CEO CIMB Islamic.

Beliau juga mempunyai latar belakang kredit yang kukuh dan pernah berkhidmat sebagai antara ahli Jawatankuasa Kredit kumpulan di CIMB Bank selama kira-kira lapan tahun antara 2012 dan 2020 serta penganalisis kanan di Malaysian Rating Corporation Bhd dari 2000-2003.

Mohamad Safri memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan MBA (Globalisasi) dari Maastricht School, Belanda. Beliau adalah seorang akauntan bertauliah dengan Malaysian Institute of Accounts.

Beliau menggantikan Dr Umar Oseni yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Dis 2023 selepas menjalankan tugas sejak 1 Jan 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here