TENOM, 7 Jan — Sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi Program Pengedaran Barang Perlu, Tong Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Community Drumming (PoS to PoS) sepanjang tahun ini di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Kedah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM79.7 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program di Sabah.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam proses menambah baik pelaksanaan program sama membabitkan tiga aspek iaitu tatacara perolehan, mekanisme kawalan dan pematuhan serta penyasaran komuniti penerima.

“Ia bagi memastikan objektif program dapat dicapai sekali gus membolehkan kumpulan sasar mendapat manfaat sejajar dengan dasar penyasaran subsidi di bawah kerajaan MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar Tenom di sini hari ini.

Melalui Community Drumming atau Program Penyeragaman Harga, kerajaan menanggung kos penghantaran barangan keperluan ke kawasan pedalaman bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan pada harga berpatutan seperti mana di bandar.

Menurut Armizan, penambahbaikan tatacara perolehan melalui kaedah tender terbuka dilaksanakan pertengahan tahun lepas, manakala penambahbaikan mekanisme kawalan dan pematuhan sedia ada berdasarkan pelaporan secara manual sedang dijalankan.

“Ia termasuk pengukuhan pelaporan bergambar dan menilai pembangunan sistem khas dengan mengambil kira isu kebolehcapaian internet di pedalaman,” katanya.

Sementara itu, mengenai tinjauan hari ini, Armizan berkata ia bertujuan memantau pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat penghantaran yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan kawalan terpilih daripada pusat bekalan kepada pusat penjualan di pedalaman.

Katanya, tujuh barangan terlibat ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandung, minyak masak, gas petroleum cecair LPG (tong gas memasak), petrol RON95 dan diesel.

“Objektif program ini adalah untuk memastikan para penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada sejumlah barangan perlu khususnya barangan kawalan pada harga sama dinikmati oleh penduduk kawasan lain.

“Program ini juga membantu mewujudkan kestabilan bekalan barang perlu dan kawalan di pedalaman,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here