KUCHING, 8 Jan — Kementerian Digital akan mengadakan perjumpaan dengan semua kerajaan negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung situasi sektor digital di negeri masing-masing, untuk memastikan tiada keciciran berlaku dalam mengadaptasi hala tuju digital yang bakal diperkenalkan nanti.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata perjumpaan ini juga adalah untuk memastikan matlamat sektor digital yang sedia ada di semua negeri dapat diselaraskan dengan hala tuju kementerian yang akan diumumkan selewatnya-lewatnya Mei ini.

“Saya buat keputusan di Kementerian Digital untuk mengadakan lawatan di setiap negeri bagi mendapatkan pandangan serta hasrat berkenaan hala tuju proses pendigitalan negeri masing-masing, kemudiannya bawa ke peringkat kementerian.

“Kita harap dalam masa tiga atau empat bulan, kita dapat membuat pengumuman mengenai hala tuju untuk Kementerian Digital yang selari dengan apa kita lihat sebagai hala tuju di setiap negeri,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengemudi kementerian baharu itu, beliau berkata kerjasama erat serta pandangan antara peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi melancarkan proses transformasi digital.  

“Saya dapati kebanyakan negeri telah memulakan proses pendigitalan sebenarnya dan mempunyai hala tuju negeri tersendiri. Kita nak gerakkan agenda nasional dan (pertemuan) ini menjimatkan masa kerana kerja sudah dimulakan (di peringkat negeri) jadi kita teruskan sahaja dari situ,” katanya. 

Terdahulu, dalam sesi kunjungan hormat itu kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai matlamat serta cabaran Sarawak dalam mendepani dunia digital selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dibangunkan kerajaan negeri. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here