KUALA TERENGGANU, 15 Jan – Kerja-kerja pembaikan paip di dasar Sungai Besut yang bocor dijangka siap dalam tempoh antara tujuh hingga 10 hari lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Karim Endut berkata setakat ini, perkembangan projek berkenaan sudah mencapai tahap 30 peratus dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual asal.

Beliau berkata penyediaan reka bentuk projek siap 100 peratus dan pembekal juga telah dilantik untuk menguruskan bekalan bagi kerja pembaikan.

“Paip mild steel dan HDPE berada di tapak dan bersedia untuk kerja pembaikan. Kerja pembaikan dan pemasangan paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar Sungai Besut sedang berjalan.

“Insya-Allah penyambungan dapat disiapkan mengikut jadual asal dan bekalan akan pulih seperti biasa untuk pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Karim berkata pihak SATU turut melaksanakan persempadanan semula di zon terjejas bagi mengelak masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan yang berisiko.

Beliau berkata sebagai alternatif, pihaknya menyediakan 102 tangki statik dan 11 lori tangki untuk ditempatkan di kawasan terlibat dengan keutamaan kepada premis-premis yang kritikal.

“SATU akan memaklumkan perkembangan situasi ini dari semasa ke semasa menerusi media rasmi. Orang ramai juga boleh menghubungi careline melalui talian 1300-88-2111,” katanya.

Penduduk di 11 kampung di sekitar Besut mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 2,670 akaun pengguna selama 21 hari bermula 1 Jan lepas, yang berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 mm di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here