KUALA LUMPUR, 17 Jan – Jumlah mangsa banjir yang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas banjir meningkat sedikit kepada 280 orang setakat 12 tengah hari ini, berbanding 278 orang pagi tadi. 

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), daripada jumlah tersebut, seramai 80 mangsa daripada 22 keluarga di Johor berlindung di tiga PPS yang merangkumi 65 mangsa daripada 19 keluarga di dua PPS di Segamat dan 15 mangsa daripada tiga keluarga di sebuah PPS di Batu Pahat. 

Dalam pada itu, di Pahang mencatatkan seramai 101 mangsa daripada 34 keluarga kekal ditempatkan di sebuah PPS di Rompin, manakala 99 mangsa daripada 42 keluarga berada di dua PPS di Beluran, Sabah

Selain itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di empat negeri berada pada paras bahaya setakat tengah hari ini.

 Sungai yang terlibat adalah Sungai Muar, Segamat dan Sungai Johor, Kota Tinggi di Johor, Sungai Kedah, Kota Setar (Kedah), Sungai Arau (Perlis) serta Sungai Terengganu, Kuala Terengganu (Terengganu). 

NADMA turut memaklumkan terdapat 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu, Jalan Sungai Tiang di Baling, Kedah dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor. 

Menurut kenyataan itu,  jumlah mangsa kebakaran yang masih berlindung di sebuah PPS di Kuching, Sarawak kekal 38 orang daripada 12 keluarga. 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan lain mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Pahang dan Johor yang bermula esok hingga Sabtu (20 Jan) ini. 

Kenyataan itu memaklumkan kawasan yang terlibat di Pahang adalah kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor meliputi Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. 

Amaran hujan berterusan juga dijangka berlaku bermula hari ini sehingga esok di Sarawak yang merangkumi kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat). 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here