KUALA LUMPUR, 18 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 302 individu termasuk Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Nur-ul Afida Kamaludin, di Istana Negara, di sini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Nur-ul Afida yang merupakan wanita pertama menyandang jawatan penting di agensi berita itu dikurniakan  Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN).

Selain Nur-ul Afida, antara penerima Bintang KMN  ialah Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Negara Senator Datin Ros Suryati Alang dan Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, NurulHuda Abd Aziz.

Sementara itu, Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy  dikurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) .

Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman SAC Nik Ezanee Mohd Faisal menerima  Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) sementara bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar (B) Mohamad Jailani Said menerima  Darjah Johan Setia Diraja (JSD).

Sementara itu dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Rosnizan Ahmad (Morib) dan Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis) masing-masing dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Daripada keseluruhan 302 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan hari ini, sembilan individu menerima Darjah Johan Mangku Negara (JMN), 19 penerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) dan seorang penerima Darjah Johan Setia Diraja (JSD).

Selain itu, seramai 41 individu dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN), 76 penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN), 155 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) serta seorang penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) iaitu DSP Mohamad Hasnal Jamil.

Mohamad Hasnal adalah pegawai kanan polis yang terlibat dalam pertempuran memerangi pengganas Sulu di Kampung Simunul, Semporna, Sabah ketika Op Daulat pada Mac 2013.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here