KUALA LUMPUR, 18 Jan – Penyakit gastrik atau gastritis yang tidak dijaga dan dirawat boleh menyebabkan ulser pada lapisan perut sehingga membawa maut.

Doktor Residen Klinik Syifa’ 24 Jam Dr Nur Daleela Mohd Azlan berkata ulser atau hakisan pada lapisan perut yang kronik boleh mengakibatkan pendarahan berterusan sehingga pesakit kehilangan banyak darah.

Jelasnya terdapat lapisan yang melindungi perut namun jangkitan kuman seperti Helicobacter Pylori akan melawan faktor perlindungan tersebut dan menyebabkan pengeluaran asid berlebihan.

“Apabila berlaku ulser, yang kebocoran pada perut akan membuatkan asid gastrik serta jusnya keluar ke dalam lapisan perut atau peritoneum hingga menyebabkan jangkitan kuman dalam badan serta mengancam nyawa.

 “80 peratus daripada  pesakit yang alami gastritis kronik ini memang ada jangkitan kuman Helicobacter Pylori yang menyebabkan keradangan,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk ‘Gastrik dan Gerd” terbitan Bernama hari ini.

Dr Nur Daleela berkata selain mendapatkan rawatan awal, pesakit juga perlu mengubah gaya hidup serta pemakanan bagi mengurangkan risiko keradangan yang teruk.

“Semua kesihatan dan penyakit berpunca dari perut, jadi tabiat dan cara pemakanan kita amat penting termasuk memastikan indeks jisim tubuh seimbang,” katanya.

Nasihatnya, apabila makan perlu makan perlahan-lahan dan jangan makan makanan yang banyak dalam satu masa serta mengikut jadual makan yang teratur.

“Tabiat merokok juga harus dihentikan kerana ia juga merupakan punca utama menyebabkan kerosakan dinding perut. Elakkan makanan pedas, berlemak, masam, kafein, bergas dan sebagainya selain menngamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here