KUANTAN, 27 Jan – Jalan Persekutuan Lebuh Raya Kuantan-Segamat Seksyen 102 di Pekan, dekat sini, yang ditutup kepada semua kenderaan akibat jalan mendap sejak 7 Jan lepas telah dibuka semula hari ini selepas pemasanganJambatan Bailey (jambatan sementara) siap dilaksanakan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi kenyataan memaklumkan jambatan itu dibuka secara dua lorong kepada kenderaan dengan maksimum muatan sehingga 20 tan serta had kelajuan 30 kilometer (km) sejam. 

“Bagi memastikan kelancaran trafik, JKR telah menyediakan Pelan Pengurusan Trafik yang lengkap sebagai panduan kepada pengguna jalan raya dan diharapkan semua pengguna jalan raya berhati-hati dan mematuhi tanda arah serta papan tanda keselamatan yang disediakan,” menurut kenyataan itu. 

Laluan itu sebelum ini, terpaksa ditutup ekoran kejadian jalan mendap di kawasan yang dikenali sebagai kawasan Burung Unta dalam kalangan pengguna, dipercayai akibat pergerakan air ekoran limpahan sungai berhampiran akibat hujan lebat berterusan. 

JKR memaklumkan Jambatan Bailey itu dibina bagi memastikan pengguna jalan raya terutamanya penduduk setempat tidak terputus hubungan sebelum kerja pembinaan pembetung kekal dilaksanakan. 

Pada 18 Jan lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya ,Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sebuah jambatan kekal akan dibina bagi menggantikan Jambatan Bailey di lokasi itu, dengan permohonan peruntukan bernilai RM17 juta telah dibuat ke Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here