KUCHING, 3 Feb – Juadah yang sinonim di Bumi Kenyalang, laksa Sarawak, diangkat sebagai menu warisan yang mencerminkan simbol perpaduan sempena program FoodUnites Ini Warisan Kita edisi Sarawak, kata Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang. 

Berucap ketika merasmikan program berkenaan di Tebingan Kuching, hari ini, beliau berkata sejumlah 12 gerai laksa Sarawak milik usahawan tempatan yang mempunyai keunikan tersendiri ditampilkan buat pengunjung yang hadir.

“Kesemua premis restoran ini diberikan pengiktirafan sebagai Cita Rasa Menu Kami kerana telah berjaya mengetengahkan premis makanan yang menghimpunkan detik-detik perpaduan melalui hidangan pilihan makanan rakyat Malaysia.

“Selain itu, terdapat enam makanan tradisi utama lain dalam acara Foodunites ini seperti nasi lemak, kuetiau goreng, ayam pansuh, nasi beriani, kek lapis dan latok,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program itu yang berlangsung sehingga esok.

Aaron berkata penganjuran inisiatif berkenaan akan diperluaskan ke semua negeri dan wilayah sebagai usaha menyemarakkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pendekatan warisan makanan.

Beliau berkata edisi FoodUnites seterusnya akan dianjurkan di Melaka dengan menampilkan juadah asam pedas sebagai menu warisan negeri berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here