PUTRAJAYA, 8 Feb – Kerajaan akan memperhalusi cadangan bagi memperkasakan masyarakat khususnya golongan belia dengan pengetahuan yang tepat mengenai HIV/AIDS, langkah pencegahan dan isu berkaitan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata langkah itu adalah mengambil kira situasi semasa kes HIV/AIDS di Malaysia ketika ini yang menunjukkan peratusan laporan kes tertinggi adalah melibatkan golongan muda.

“Maka terdapat keperluan untuk memperluas dan memperhebat program pencegahan, kawalan dan rawatan berkaitan HIV/AIDS memandangkan taburan kes HIV/AIDS mengikut umur menunjukkan 74 peratus kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan muda berumur antara 20 dan 29 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri. 

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2024 di sini hari ini.

Katanya, antara cadangan lain yang dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan ialah mewujudkan rumah perlindungan bagi mengendalikan jagaan susul bagi Orang Dengan HIV/AIDS (ODHA) yang tersisih daripada keluarga dan tiada sokongan serta meningkatkan keterjaminan pekerjaan dan pendidikan untuk ODHA.

Selain daripada itu, terdapat juga cadangan untuk melaksanakan pemantauan berterusan dan sekatan ke atas laman web yang menyebarkan bahan lucah atau aplikasi rangkaian sosial yang menjurus kepada aktiviti berisiko tinggi HIV.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai strategi penyelesaian bagi isu keciciran murid sekolah menengah dengan menggariskan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk menyebarluaskan maklumat tentang kepentingan mendapatkan pendidikan sekurang-kurangnya sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sebaran maklumat boleh dibuat kepada golongan sasar melalui media cetak, media elektronik dan media sosial.

Beliau berkata empat faktor telah dikenal pasti sebagai punca keciciran murid iaitu tidak berminat ke sekolah, terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan sara hidup keluarga, masalah keluarga dan kemiskinan.

Justeru, katanya mesyuarat mencadangkan agar pemantauan berkala dilakukan ke atas majikan yang mengambil pekerja yang masih bersekolah agar mereka mematuhi syarat dan waktu bekerja yang ditetapkan; membantu keluarga yang kesempitan kewangan serta memberi bantuan kewangan mencukupi kepada murid mengikut keperluan dan lokaliti tempat tinggal.

Turut dicadangkan penyediaan pusat latihan vokasional, perkhidmatan kaunseling kepada ibu bapa atau penjaga, sokongan psikososial serta penyediaan ruang pembelajaran seperti pusat komuniti atau pusat aktiviti untuk memudahkan murid belajar, katanya.

“Kerajaan mengambil maklum mengenai penambahbaikan dasar bagi memastikan layanan adil kepada pengguna yang terdedah. 

“Ia termasuk menerapkan amalan baik yang boleh dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan kewangan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dari segi umum, mesin juruwang automatik (ATM), perbankan dalam talian dan cawangan atau premis,” kata Ahmad Zahid.

Dasar itu, menurut beliau akan menggariskan dua objektif utama iaitu menggalakkan penyedia perkhidmatan kewangan untuk mempertimbangkan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kepentingan serta keperluan pengguna yang terdedah dalam menjalankan perniagaan dan operasi.

Selain itu, ia bertujuan menetapkan keperluan yang perlu dipatuhi oleh semua penyedia perkhidmatan kewangan bagi menyediakan sokongan yang sesuai kepada pengguna yang terdedah selaras dengan hasil layanan yang adil, tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here