BAKU, 10 Feb – Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed memuji perjalanan pilihan raya Azerbaijan yang aman, serta menyatakan ia mempamerkan sokongan rakyat terhadap proses demokrasi serta aspirasi mereka untuk hidup aman.

Nur Jazlan, yang mengetuai misi pemantauan parlimen Malaysia sempena pilihan raya presiden Azerbaijan pada Rabu, berkata pilihan raya itu berjalan mengikut norma  antarabangsa.

“Pilihan raya secara keseluruhan berjalan tanpa sebarang insiden dan hak setiap orang untuk mengundi tidak dicabuli,” lapor Agensi Berita Azerbaijan (AZERTAC) memetik Nur Jazlan sebagai berkata pada sidang media berhubung keputusan pilihan raya negara tersebut.

 Nur Jazlan berkata misi Malaysia telah memantau pilihan raya tersebut di lima pusat mengundi dan penempatan Bilgah di Baku.

Sementara itu, Kedutaan Azerbaijan di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa Speaker Dewan Perwakilan Milli Majlis Azerbaijan Sahiba Gafarova telah bertemu dengan misi pemantau parlimen Malaysia di Baku.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada misi Malaysia dalam memantau proses pilihan raya yang bersejarah bagi Azerbaijan.

Menurutnya, pilihan raya presiden itu buat pertama kalinya berlangsung di seluruh wilayah Azerbaijan termasuk Khankendi dan Shusha demi memastikan kedaulatan dan integriti wilayah negara itu.

Gafarova berkata setiap langkah perlu telah diambil demi memastikan pilihan raya itu dilaksanakan secara bebas, demokratik dan telus, selaras dengan keperluan undang-undang dan memenuhi semua piawaian lanjutan.

“Peratusan keluar mengundi yang tinggi turut jadi perhatian. Rakyat kita telah pergi ke pusat mengundi dan mengundi demi masa depan negara,” kenyataan kedutaan itu memetik Gafarova sebagai berkata.

Kedutaan itu berkata misi pemantauan parlimen Malaysia memuji pembangunan Azerbaijan, serta menekankan bahawa negara itu bersifat terbuka kepada masyarakat antarabangsa.

Menurut laporan media, penyandang jawatan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dilantik semula pada Rabu menerusi pilihan raya presiden dengan memperoleh 92.1 peratus undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here