JOHOR BAHRU, 20 Feb – Beberapa jalan di Johor termasuk Jalan Johor Bahru-Mersing dan jalan rosak akibat banjir akan dinaik taraf dan dibaik pulih melibatkan peruntukan RM168 juta yang telah diluluskan di peringkat Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi Facebook berkata antaranya ialah RM120 juta bagi menaikkan aras jalan laluan FT003 iaitu Jalan Johor Bahru- Mersing; RM39 juta bagi membaik pulih jalan rosak disebabkan banjir Monsun Timur Laut 2023/2024 dan RM9 juta untuk membaiki Jalan Felda Ulu Tebrau.

“Kerajaan Negeri Johor akan terus sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan seterusnya berusaha menaik taraf kemudahan dan infrastruktur jalan raya demi keselesaan serta keselamatan pengguna.

“Saya amat berterima kasih atas keperihatinan pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) atas kelulusan beberapa projek di Johor. Syukur Alhamdulillah terima kasih Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kerana menerima kunjungan hormat saya dan delegasi (semalam),” katanya

Beliau juga berharap KKR dapat mempertimbangkan permohonan lain sebagai persediaan bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) serta agenda Tahun Melawat Johor 2026.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here