KUALA TERENGGANU, 29 Feb – Pasar Payang 1 yang dijangka beroperasi sebelum Aidilfitri, dicadangkan dijenamakan semula sebagai Central Market@Pasar Payang supaya menjadi sebuah kompleks pasar tersohor di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata menerusi penjenamaan semula itu, Pasar Payang 1 akan dijadikan sebagai pusat penjualan barangan kesenian dan kebudayaan seperti batik, sutera, emas dan sebagainya.

Beliau berkata bagi Pasar Payang sementara yang digunakan buat masa ini atau Pasar Payang 2 pula, ia akan dijadikan sebagai pasar harian yang menempatkan penjualan barangan makanan.

“Ia selari dengan persiapan Malaysia untuk menjadi tuan rumah ASEAN (Pengerusi ASEAN) pada tahun depan. Menjelang 2026 pula adalah Tahun Melawat Malaysia dan kita juga menjangkakan peningkatan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa.

“Jadi kita perlu menyediakan lebih banyak produk pelancongan seperti Central Market@Pasar Payang ini, dalam masa sama untuk membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil di Terengganu,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Nga berkata projek pembangunan Pasar Payang 1 yang berjumlah RM70.03 juta itu bakal memanfaatkan lebih 700 peniaga dengan menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan, tandas termasuk tandas untuk Orang Kurang Upaya, lif, tangga bergerak, surau dan sebagainya.

Beliau berkata projek pembangunan semula pasar berkenaan amat penting memandangkan keadaan Pasar Payang sebelum ini yang uzur dan telah berusia lebih 50 tahun.

“Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar MBKT dapat menjaga projek ikonik ini dengan sebaik mungkin serta menjadikan Pasar Payang sebagai satu daripada pasar terbaik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga batik dan sutera, Nurul Izzati Batrisya Lukman, 30, menyambut baik langkah penjenamaan dan penyusunan semula Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2 yang disifatkan lebih sistematik serta teratur.

Nurul Izzati Batrisya berkata keputusan kerajaan untuk mengkhususkan Pasar Payang 1 sebagai pusat jualan barangan kesenian manakala Pasar Payang 2 untuk pasar harian akan membolehkan orang ramai membeli-belah dengan lebih mudah serta selesa.

“Selain itu tahap kebersihan pasar juga pastinya lebih terjamin kerana pasar basah dan jualan makanan diasingkan daripada kedai emas, pakaian dan cenderamata,” katanya ketika ditemui di Pasar Payang 2 hari ini.

Seorang peniaga gerai makan, Mohd Zaki Mohd Salim, 47, berkata walaupun agak terkilan kerana tidak dapat berpindah ke tempat lama, beliau akur dan percaya langkah penyusunan semula itu tidak akan menjejaskan ekonomi peniaga.

Mohd Zaki berkata langkah berkenaan juga diharap dapat merancakkan lagi Pasar Payang yang merupakan produk pelancongan ikonik Terengganu.

“Tak ada masalah pun sebenarnya (penyusunan semula) kerana Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2 letaknya bersebelahan. Pelancong pun senang lebih senang nak cari barangan kerana dah ada pengkhususan,” katanya.

Menurut Mohd Zaki kemudahan tambahan seperti lif, tangga bergerak, surau serta tandas lebih selesa juga mampu menarik kunjungan lebih pelancong serta memberi persepsi yang baik terhadap negeri ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here