PUTRAJAYA, 29 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Transformasi Ekonomi Bumiputera turut menggariskan tiga matlamat utama untuk dicapai, melibatkan Keadilan Sosio-Ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa serta Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya ketiga-tiga matlamat utama itu bagi memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak Bumiputera, tetapi pada masa sama memastikan wujudnya kesalingan atau synergy dengan bukan Bumiputera.

“Tiga matlamat utama yang digariskan menuntut semua kaum bekerjasama membangunkan negara. Menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, bahawa usaha memartabatkan penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara.

“Ia juga bagi memadamkan penceritaan ekonomi negara dikuasai oleh kumpulan minoriti, yang tentunya mengundang resah kaum majoriti dan pada akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial. Keadaan sebegini tentunya tidak sihat bagi sebuah negara yang telah melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama,” katanya dalam ucaptama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here