KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memanfaatkan dapatan daripada Kaji Selidik Impak Ekonomi (EIS) 2022-2023 Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) untuk memperhalusi dasar perdagangan dan pelaburan bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan.

Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dapatan daripada kaji selidik persatuan perniagaan itu mencerminkan keyakinan terhadap dasar kerajaan MADANI dan usaha bersungguh-sungguhnya untuk memudahkan urusan pelabur sejak Disember 2022.  

“MITI mengalu-alukan dapatan daripada kaji selidik EIS 2022-23 AMCHAM, terutamanya hakikat bahawa pelaburan syarikat pembuatan Amerika Syarikat (AS) sebanyak RM92.2 bilion setakat ini telah menyumbang RM199.4 bilion kepada eksport kita dan RM23.3 bilion impak limpahan kepada syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Ini mewujudkan 126,185 pekerjaan kepada rakyat Malaysia, termasuk kepada 232 pemegang PhD dan 4,219 pemegang ijazah sarjana,” katanya dalam catatan beliau di laman LinkedIn hari ini.

Semalam, AMCHAM membentangkan dapatan daripada kaji selidik itu, yang disertai 81 ahlinya. Daripada jumlah responden tersebut, 65 adalah syarikat multinasional Amerika dan separuh daripadanya syarikat pembuatan, dengan pengeluar E&E merupakan antara kumpulan responden terbesar.

Tengku Zafrul berkata MITI menghargai komitmen ahli AMCHAM untuk meningkatkan tenaga kerja Malaysia, dengan 65 peratus pengilang menawarkan inisiatif latihan yang dibiayai sepenuhnya.

Ini, katanya, mencerminkan fokus Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk memangkin kerjasama awam-swasta bagi pendidikan teknikal dan latihan (TVET) serta program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Hakikat bahawa majoriti responden akan menerapkan kecerdasan buatan (AI) ke dalam aktiviti perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang menandakan potensi peningkatan industri E&E Malaysia.

“Kami juga berbesar hati apabila dapatan itu menunjukkan bahawa 60 peratus syarikat pembuatan Amerika merancang pelaburan tambahan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bersama-sama dengan peruntukan penyelidikan dan pembangunan sebanyak RM1.92 bilion oleh syarikat pembuatan Amerika pada 2022-2023, semua ini secara kolektif menyokong pencapaian objektif utama Malaysia untuk meningkatkan rantaian nilai global di samping gaji yang lebih tinggi untuk pekerja mahir tempatan seperti yang digariskan di bawah NIMP 2030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here