KUALA LUMPUR, 3 April – Kementerian Pertahanan sedang melengkapkan kertas dasar bagi memperkukuhkan industri pertahanan negara, menurut Timbalan Menteri berkenaan Adly Zahari.
Beliau berkata selain meningkatkan industri pertahanan sedia ada, kertas dasar itu memberi fokus kepada industri baharu dalam pertahanan termasuk bidang siber.
“Industri pertahanan kita banyak terlibat dengan MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) berbanding pembuatan. Kita mungkin ada industri pembuatan senjata dalam berskala sederhana dan kalau industri besar seperti LCS (Kapal Tempur Pesisir).
“Kita mahu kepakaran tempatan industri sedia ada dapat bertahan dan bersaing pada masa depan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengenai usaha mengembangkan industri pertahanan tempatan pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, Adly berkata kementerian sentiasa memastikan setiap perolehan aset-aset pertahanan yang dilaksanakan melalui kerajaan dengan kerajaan (G2G) mengikut peraturan dan pekeliling yang berkuat kuasa.
Beliau berkata rundingan hanya dilaksanakan dengan syarikat yang dipilih kerajaan negara berkenaan setelah kementerian membuat penilaian wajar berkaitan keupayaan dan kewangan syarikat serta ketetapan spesifikasi pengguna.
“Namun perkara ini bergantung kepada siling peruntukan yang ditetapkan oleh agensi pusat,” katanya.
Adly menjawab soalan asal Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai usaha Kerajaan MADANI mengelak orang tengah dalam pembelian aset pertahanan negara melalui pendekatan G2G yang lebih telus dan bertanggungjawab.