KUALA LUMPUR, 3 Mei — Lembaga pengarah Digital Nasional Bhd (DNB) yang baru dilantik akan mengadakan mesyuarat pada Selasa depan untuk meneliti laporan kajian daya maju mengenai perjanjian penjualan saham (SSA) 5G, sebelum membuat sebarang pengesyoran mengenai hala tuju rangkaian 5G kedua yang akan diwujudkan tidak lama lagi, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata keseluruhan proses usaha wajar itu telah dilakukan dan kini pihak lembaga pengarah akan mengkaji laporan yang dikemukakan tersebut di samping menentukan hala tuju perkara yang perlu dilaksanakan selepas itu.

“Jangka masa yang ditetapkan saya yakin adalah 20 hari untuk mereka kembali mengemukakan semula selepas meneliti laporan usaha wajar itu.

“Kita akan melaksanakannya satu per satu,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DNB dan Ericsson dengan rakan kongsi perusahaan bagi memajukan 5G untuk perusahaan di ibu pejabat DNB di sini, pada Jumaat.

Lembaga pengarah DNB yang baharu termasuk Datuk Kamal Khalid (Infranation Sdn Bhd, CelcomDigi); Uthaya Kumar K Vivekananda (Maxis Broadband Sdn Bhd); Chang Yit Fei dan Tan Kok Leong (U Mobile Sdn Bhd); Nik Azli Abu Zahar dan Mohamed Tajul Mohamed Sultan (Telekom Malaysia Bhd) serta Datuk Seri Yeoh Seok Hong dan Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek (YTL Power International Bhd).

Semua anggota baharu itu akan menyertai dua lagi anggota pengarah sedia ada iaitu Datuk Johan Mahmood Merican dan Ma Sivanesan Marimuthu.

Gobind berkata pendirian kerajaan adalah jelas bahawa rangkaian 5G kedua akan diperkenalkan selepas beberapa prasyarat SSA antara pengendali rangkaian mudah alih dan DNB telah dipenuhi.

“Prasyarat terbaru yang telah dipenuhi ialah pelantikan pengarah yang telah dilakukan minggu lepas, dan sudah tentu langkah seterusnya adalah mereka akan mengadakan mesyuarat itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here