BEIJING, 12 Mei – Presiden China Xi Jinping telah mengakhiri lawatan rasminya ke Perancis, Serbia dan Hungary yang berlangsung dari 5 hingga 10 Mei lalu. Menteri Luar China, Wang Yi ketika memperkenalkan hasil lawatan kali ini kepada wartawan menyatakan bahawa dalam lawatan ke luar negeri yang pertama bagi tahun ini, Presiden Xi telah menghadiri lebih 30 aktiviti.

Menurut Wang, lawatan Xi ke Perancis merupakan agenda paling penting sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik China-Perancis. Ketua negara kedua-dua pihak telah mengadakan komunikasi strategik secara terperinci yang memakan masa yang panjang, dan turut mencapai banyak persepakatan tentang mengembangkan terus hubungan dua hala, memperkukuh kestabilan hubungan dua hala dari segi strategik, meneroka potensi kerjasama yang saling menguntungkan, mempercepat pertukaran sosiobudaya dan membina konsensus yang lebih besar tentang kerjasama sejagat. Dalam tempoh lawatan itu, kedua-dua pihak mengeluarkan empat pengumuman bersama di samping menandatangani hampir 20 perjanjian kerjasama.

Dalam lawatan seterusnya, Presiden Xi dan rakan sejawatnya dari Serbia, Aleksandar Vucic bersepakat membina komuniti berkongsi nasib China-Serbia bagi era baharu. Wang berkata, hal ini pasti menjadi batu tanda baharu dalam sejarah, kondusif bagi mempercepat pembangunan modenisasi di negara masing-masing, dan menambah elemen yang hidup ke landskap pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Ketika menyebut lawatan Xi ke Hungary, Wang Yi berkata, China bersedia bersama dengan Hungary mengambil kesempatan sekarang ini, mengembangkan Perkongsian Strategik Komprehensif Sepanjang Masa pada era baharu, dan membuka lembaran baharu dalam kerjasama yang saling menguntungkan antara kedua-dua negara.

Sebelum itu, Presiden Xi telah bersama dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Jawatankuasa Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen menghadiri pertemuan tiga pihak pemimpin China-Perancis-EU di Paris. Xi menyatakan bahawa China EU perlu mengekalkan perkongsian, meneruskan dialog dan kerjasama, mengintensifkan komunikasi strategik, memupuk rasa saling percaya dalam bidang strategi, membina konsensus yang bersifat strategik, dan mengadakan penyelarasan strategik supaya dapat mendorong hubungan China-EU berkembang dengan stabil dan sihat sehingga memberi sumbangan baharu kepada keamanan dan pembangunan dunia.

Dalam tempoh lawatan tersebut, Xi dan pemimpin Eropah juga bertukar-tukar pendapat secara mendalam mengenai krisis Ukraine dan konflik Palestin-Israel.

Wang berkata, Presiden Xi melalui lawatannya ke negara-negara Eropah kali ini telah mengeluarkan seruan untuk mewujudkan kedamaian, perpaduan dan kerjasama, sekali lagi membuktikan China sudah menjadi satu negara yang sudi menggalas tanggungjawab, dan mempunyai pengaruh besar di persada antarabangsa berhubung peranannya sebagai peneraju yang inovatif dan rasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here