GEORGE TOWN, 12 Mei – Pulau Pinang sasar untuk tarik 150,000 bakat dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan tumpuan kepada industri semikonduktor dan teknologi perubatan, yang penting bagi pertumbuhan ekonomi negeri. 

Timbalan Ketua Menteri Jagdeep Singh Deo berkata Pulau Pinang komited untuk memupuk persekitaran yang kondusif terhadap inovasi teknologi, sebahagiannya dilaksanakan melalui pembangunan bakat teknologi.

“Inisiatif strategik Pulau Pinang, seperti kerjasama antara industri serta akademik, pelaburan dalam program pendidikan termasuk menarik pelaburan langsung asing, bertujuan meletakkan negeri ini sebagai hab global untuk kemajuan teknologi dan mengekalkan kelebihan daya saingnya dalam rantaian bekalan global,” katanya semasa ucapan perasmian di Simposium Utara Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) 2024 di sini hari ini.

MBOT dalam satu kenyataan berkata simposium ini berfungsi sebagai platform dinamik untuk menggalakkan perkongsian kepakaran selain memudahkan pemindahan pengetahuan berkaitan teknologi termaju. 

Ia juga menghubungkan ahli profesional MBOT di bawah rangkaian strategik, memupuk perkongsian ilmu dan kerjasama dengan rakan kongsi strategik di wilayah Utara Malaysia.

Acara sehari anjuran MBOT itu menghimpunkan hadirin daripada pelbagai industri, institusi serta agensi kerajaan bagi memupuk perbincangan dan kerjasama bermakna yang akan membentuk masa depan teknologi di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here