KUALA LUMPUR, 15 Mei – Akta Pembangunan Hartanah bagi Semenanjung Malaysia dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming. 

Beliau yang membangkitkan idea penubuhan akta itu berkata, berikutan kehidupan moden dalam pembangunan bercampur merangkumi peruncitan, komersial, SOHO (pejabat kecil/pejabat rumah) dan kediaman perubatan, inilah masanya untuk kerajaan mempertimbang akta yang lebih komprehensif, telus dan bertanggungjawab.

“Sejak 1966, terdapat Akta Pemajuan Perumahan yang hanya meliputi hartanah kediaman. Menerusi akta baharu itu, kepentingan pembeli, pemaju dan pemilik tanah dalam aspek yang berkaitan akan dilindungi.

“Pada masa ini, ia belum dimuktamadkan dan kementerian masih lagi berbincang dengan semua pihak berkepentingan mengenainya.

“Kami di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terbuka kepada semua idea baharu dan mengamalkan pendekatan adil dan seimbang di samping melindungi kepentingan pembeli dan pemaju,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan penyiapan TRX Residences fasa 1 di sini hari ini.

Sementara itu, Nga berkata TRX Residences adalah satu lagi mercu tanda dan pencapaian pembangunan ibu kota Kuala Lumpur bertaraf antarabangsa yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia. 

TRX adalah pusat kewangan antarabangsa Malaysia yang turut menempatkan TRX Residences dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM6.7 bilion. 

“Ini mampu menjana ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Malah pembeli unit di TRX Residences adalah daripada lebih 25 negara antaranya Dubai, China, Taiwan, Hong Kong dan Singapura sekali gus meningkatkan profil sektor hartanah negara,” katanya.

Nga berkata pemaju projek TRX Residences berjaya memperoleh hak milik strata dalam tempoh dua bulan lebih awal daripada Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Ini menunjukkan bahawa sekiranya anda giat berusaha, ia tidak mustahil, dan TRX Residences telah membuktikannya. Cuma pastikan anda mengikut prosedur, dan tidak terlalu sukar untuk mendapatkan hak milik strata walaupun sebelum CCC.

“Kami (KPKT) gembira menyaksikan penanda aras ini dan berharap pemaju lain akan mencontohi aspek yang sama dan meningkatkan standard pembangunan perumahan kita,” katanya.

Mengulas idea pilihan kepada rumah sewa untuk golongan yang tidak berkemampuan membeli rumah, Nga berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan adil dan seimbang mengenainya yang menyaksikan semua pihak termasuk pemaju turut mempunyai peranan.

“Selain meraih keuntungan, pemaju perlu mempunyai tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat. Menerusi kerjasama strategik dengan sektor swasta, kita berharap kerajaan akan dapat menyediakan 500,000 rumah mampu milik menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here