PUTRAJAYA, 17 Mei –  Pengunjung dari 36 negara berisiko rendah akan dibenarkan untuk menggunakan kemudahan ‘autogate’ bagi urusan ketibaan dan kepulangan di semua pintu masuk negara sama ada melalui darat, udara atau laut berkuat kuasa 1 Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tambahan kelulusan itu menjadikan jumlah keseluruhan pengunjung dari 46 negara dibenarkan menggunakan kemudahan itu bagi melancarkan proses imigresen di pintu masuk agar lebih cepat dan dipermudahkan tanpa berkompromi dengan elemen keselamatan, sekali gus menangani kesesakan di pintu masuk negara.

“Tahun lepas bagi melegakan kesesakan apabila ketibaan pesawat berturut-turut, terutama semasa waktu puncak, antara inisiatif yang kami umumkan adalah 10 negara yang kita anggap berisiko rendah dibenarkan melalui ‘clearance’ imigresen melalui autogate, proses di autogate ni ambil masa 10 hingga 15 saat sahaja.

“Menjadi tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Jabatan Imigresen untuk memastikan urusan ketibaan pelawat bila melepasi imigration clearance – kita mahu ia berlaku dengan lancar,” katanya ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini hari ini.

Antara 36 negara yang dibenarkan menggunakan kemudahan autogate ialah semua negara dari Kesatuan Eropah, Bahrain, Kuwait, Jordan, Oman, Qatar, China, Kanada, Hong Kong dan Taiwan.

Tahun lepas KDN membenarkan pengunjung dari 10 negara berisiko rendah iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Australia, New Zealand, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Arab Saudi menggunakan kemudahan autogate.

Saifuddin berkata dari 1 Jan tahun lepas hingga bulan lepas, JIM merekodkan ketibaan 40 juta pengunjung dengan 30.5 juta daripadanya tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2, serta di Tambak Johor iaitu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.

“Jadi kalau kita boleh fokus (menangani kesesakan di) KSAB dan CIQ, diikuti KLIA 1 dan 2, saya yakin ini adalah langkah yang kita harap bila dilaksanakan ia boleh mengurangkan masalah kesesakan (di pintu masuk negara),” katanya.

Beliau berkata kemudahan autogate juga akan dipanjangkan kepada semua kakitangan diplomatik yang bertugas di Malaysia termasuk ahli keluarga mereka.

Beliau berkata KDN dan JIM akan mengadakan perbincangan dengan Wisma Putra bagi membantu proses mendapatkan perincian diplomat dan keluarga mereka yang berada di Malaysia.

“Ini satu lagi kategori yang kita masukkan. Ini tepat saya fikir kerana tahun depan kita akan memegang pengerusi Asean dengan mesyuarat di peringkat menteri dan peringkat pegawai kanan kerajaan akan berlaku dengan sangat kerap, jadi ini sebagai langkah awal untuk kita mempersiapkan proses ketibaan mereka itu diuruskan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata KDN juga sedang merangka beberapa inisiatif untuk menangani kesesakan di pintu masuk negara terutama di Tambak Johor, dan perkara itu akan dibincang dan dimuktamadkan dalam mesyuarat bulan ini.

Beliau berkata berdasarkan rekod JIM, Tambak Johor merekodkan purata mobiliti hampir 350,000 sehari, dengan majoriti daripadanya adalah mereka yang menaiki bas pekerja dan motosikal.

“Kita berpendapat bahawa proses imigration clearance tidak boleh lagi bertahan dengan sistem sedia ada, kita mesti bertindak proaktif dengan cuba untuk teroka dan berinovasi dengan menggunakan pelbagai sistem lain.

“Dalam tempoh terdekat KDN akan membuat beberapa siri pengumuman,” katanya menambah antara penambahbaikan yang sedang dipertimbang termasuk penggunaan QR Code.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here