PUTRAJAYA, 18 Mei – Malaysia mengambil bahagian dalam Sesi Dialog Konstruktif Pembentangan Laporan Berkala Konvensyen Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Keenam Negara dari 18 hingga 26 Mei ini di Geneva, Switzerland.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri telah berlepas ke Geneva semalam bagi mengetuai delegasi Malaysia pada sesi berkenaan. 

Nancy akan menjadi Menteri Malaysia pertama mengetuai delegasi negara ke sesi dialog konstruktif untuk menjawab persoalan berbangkit bagi mempertahankan laporan berkala yang telah dikemukakan oleh Malaysia kepada Jawatankuasa CEDAW.

“Penyertaan negara di peringkat CEDAW memperlihatkan komitmen serius Malaysia dalam setiap kerjasama di peringkat antarabangsa bagi menghapuskan diskriminasi terhadap wanita mengikut artikel yang terkandung di bawah CEDAW,” menurut kenyataan itu. 

Delegasi Malaysia turut disertai Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff bersama pegawai-pegawai kanan kementerian serta wakil beberapa kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar. 

Turut mengambil bahagian dalam sesi dialog konstruktif berkenaan adalah badan bukan kerajaan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, menurut kenyataan itu. 

CEDAW telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Dis 1979 melalui resolusi 34/130.

Konvensyen disertai oleh Malaysia sejak 5 Julai 1995 ini memberi penekanan kepada usaha menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Di bawah Artikel 18 CEDAW, setiap negara anggota perlu mengemukakan laporan berkala setiap empat tahun sekali dan melaksanakan proses semakan serta menyediakan maklum balas dan menyertai sesi dialog konstruktif bagi memenuhi obligasi negara terhadap CEDAW.

KPWKM yakin penyertaan Malaysia dalam sesi Dialog Konstruktif CEDAW akan meningkatkan lagi impak usaha kementerian bagi mempertahankan hak asasi kumpulan sasar khususnya wanita dan kanak-kanak perempuan dengan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, perundangan dan dasar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here