PUTRAJAYA, 25 Mei – Malaysia membentangkan laporan berkala keenam mengenai pelaksanaan Konvensyen Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 22 Mei, semasa Sesi ke-88 di Geneva, Switzerland.

Laporan berkala itu menyediakan kemas kini mengenai dasar, inisiatif dan langkah-langkah konkrit yang sedang dilaksanakan kerajaan Malaysia untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dan memberikan ruang kepada mereka untuk mencapai kejayaan lebih besar selaras dengan kewajipan di bawah CEDAW.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi ini merupakan kali pertama Malaysia yang dipimpin oleh Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri, menyampaikan laporan berkala sejak menyertai CEDAW pada 5 Julai 1995.

“Malaysia berbangga bahawa ini merupakan kali pertama kami mengemukakan laporan berkala tepat pada masanya. Ia menunjukkan komitmen Malaysia dalam memenuhi kewajipan di bawah CEDAW,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menyertai konvensyen itu pada 5 Julai 1995. Ia menekankan usaha untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Di bawah Artikel 18 CEDAW, setiap negara anggota perlu mengemukakan laporan berkala setiap empat tahun sekali dan melaksanakan proses semakan serta menyediakan maklum balas dan menyertai sesi dialog konstruktif.

Kenyataan itu menambah semasa dialog konstruktif dengan Jawatankuasa CEDAW, pakar memuji Malaysia atas usahanya meminda undang-undang jenayah iaitu Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dan Kanun Keseksaan (Akta 574), khususnya untuk menjadikan tindakan menghendap satu jenayah pada 2023, bagi menangani keganasan berasaskan jantina terhadap wanita dan gadis.

“Jawatankuasa juga memuji inisiatif kerajaan dalam menghapuskan hukuman mati mandatori.

“Sejak laporan terakhir, 28 undang-undang dan peraturan telah dimansuhkan, dipinda atau diperkenalkan untuk memperbaiki keadaan keseluruhan hak asasi manusia, termasuk yang berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Delegasi Malaysia juga memberikan penjelasan berhubung banyak isu yang menarik minat ahli jawatankuasa, termasuk perkara berkaitan amalan sistem dwiperundangan di Malaysia, stereotaip jantina, langkah untuk meningkatkan jumlah wanita dalam politik dan jawatan pembuat keputusan serta penyertaan dalam perjanjian antarabangsa berkaitan.

“Beberapa ahli jawatankuasa turut berminat untuk mengetahui tentang dasar dan program wanita luar bandar, wanita dan perubahan iklim serta dasar tenaga boleh baharu di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan Malaysia memberi jaminan kepada Jawatankuasa CEDAW atas komitmen teguh untuk memperkukuh lagi jentera negara bagi kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita, termasuk melalui penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

Laporan dan pembentangan Malaysia kepada Jawatankuasa CEDAW boleh diakses melalui https://shorturl.at/ClYNN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here